Panel inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini mengunjungi kawasan sekitar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang merupakan lokasi rusuhan Nov lalu.
Pasukan panel berkenaan diketuai koroner Rofiah Mohamad, pegawai penyelaras inkues Hamdan Hamzah dan pasukan guaman bagi semua pihak terlibat dalam kes itu.
Pasukan inkues juga disertai tiga saksi yang sudah memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam semalam.
Pasukan inkues kemudian meneruskan kunjungan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya di SS17 untuk melihat lori bomba dan van EMRS yang terlibat dalam kejadian.
Panel meneliti bahagian dalam dan luar kedua-dua kenderaan berkenaan yang terdapat kesan kerosakan yang ketara.
Inkues bersambung di mahkamah koroner petang ini.