Video tular! Anggota tunjuk pistol dan ugut lelaki, Polis Johor siasat

2019-01-30 1

Polis Johor sedang menyiasat klip video yang tular di media sosial menunjukkan salah seorang anggotanya melakukan ugutan jenayah terhadap seorang individu.

Menerusi satu kenyataan media, Timbalan Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam video berkenaan, suspek menunjukkan sepucuk pistol di pinggang kepada seorang lelaki dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dengan mengaitkan dirinya dengan pegawai kanan polis yang bertugas di IPD JOhor.

Mohd Kamarudin juga menyeru saksi dalam kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

Klip video selama 2.32 minit itu menunjukkan seorang lelaki diugut oleh seorang anggota polis, yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman.

Berdasarkan perbualan antara kedua-dua individu tersebut, mangsa dikatakan berhutang kepada anggota polis tersebut sebanyak RM50,000 dan hanya membayar RM30,000.

Anggota polis berkenaan memberi amaran kepada mangsa sebanyak dua kali bahawa anggota keluarganya yang dipenjarakan akan mati jika jumlah tersebut tidak dibayar.