Nasihat Sultan Abdullah: 'Jangan sesekali anakanda riak dan angkuh'

2019-01-29 1

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang hari ini dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang diingatkan oleh ayahandanya supaya berbuat baik dalam melaksanakan tanggungjawab serta melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh ketakwaan.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan Tengku Hassanal bahawa setiap sesuatu kurniaan di muka bumi Allah ini datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.

“Jangan sesekali paduka anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambillah resmi padi, makin berisi makin menunduk,” titah baginda.

Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini. Pada istiadat tersebut, turut diadakan pengisytiharan pelantikan Tengku Hassanal sebagai Pemangku Raja Pahang berkuat kuasa Khamis ini, susulan pemilihan Tengku Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bermula Khamis.

-Bernama