Harga runcit RON95, RON97 kekal, diesel naik satu sen

2019-01-25 83

Harga runcit petroleum bagi RON95 dan RON97 kekal pada RM1.98 seliter dan RM2.28 seliter mulai 12 tengah malam bagi tempoh 26 Jan hingga 1 Feb 2019.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, bagi tempoh sama, harga runcit diesel dinaikkan satu sen seliter daripada RM2.17 seliter kepada RM2.18 seliter.

"Harga petroleum yang diproses di pasaran dunia ketika ini berada pada paras USD73 setong berbanding petrol RON95 iaitu pada paras USD62 setong.

"Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatkan permintaan bagi produk diesel, terutamanya dari China dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global," katanya.

Kenyataan itu menyebut, Kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga tersebut.