Video tular memaparkan Ahli Parlimen Bentong Wong Tack bertengkar dengan beberapa individu yang sedang membersihkan kawasan tanah kebun berhampiran Manchis.
Video yang berdurasi 4 minit 36 saat itu menyaksikan wakil rakyat itu tidak dapat mengawal emosi dan meminta proses membersihkan kawasan kebun buah-buahan yang diusahakan penduduk setempat, dihentikan.
Memetik laporan Utusan Malaysia, susulan pertengkaran dalam keadaan beremosi itu yang menyaksikan Wong Tack turut menyatakan pihaknya adalah ‘kerajaan pada masa ini’ menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
Antaranya, netizen mempersoalkan cara dan sikap selain mendakwa ia mengganggu kerja penjawat awam.
Difahamkan, kerja pembersihan dilakukan sebuah syarikat yang telah membeli tanah di dalam kawasan berkenaan untuk penanaman ladang termasuk durian dan kelapa sawit.
Dalam video tersebut juga memaparkan seorang individu yang dikatakan mewakili mahkamah menyatakan mendapat perintah mahkamah untuk melakukan kerja berkenaan.
Bagaimanapun, Wong Tack meminta penjelasan mengenai ukuran tanah yang dibenarkan mahkamah.
Dalam pada itu, Wong Tack ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, apa yang dilakukan tiada kaitan dengan politik dan hanya membela nasib penduduk di situ yang teraniaya selepas kebun mereka dimusnahkan.
Katanya, dia tidak berniat sesekali melanggar atau mengganggu tugas penjawat awam malah hanya mahukan penjelasan mengenai kedudukan tanah yang betul.
Sementara itu, wakil syarikat berkenaan ketika dihubungi berkata, mereka yang melakukan tindakan berdasarkan arahan mahkamah telah meletakkan notis sebelum ini.
Katanya, pada masa ini operasi dihentikan sementara bagi memberi peluang pihak terbabit mengemukakan rayuan di mahkamah.