Ahli Majlis Tertinggi Umno digesa sebulat suara memberikan mandat penuh kepada Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi pemangku presiden dan bukannya sekadar timbalan presiden yang menjalankan tugas presiden.
Bendahari Umno Johor Datuk Md Jais Sarday dalam kenyataan medianya hari ini berkata, mandat itu harus diberikan kepada Mohamad bagi memulihkan dan memperkasa Umno.
Menurutnya lagi, iltizam yang digariskan Mohamad selaku Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk Umno bangkit kembali dan meneruskan perjuangannya dalam arena politik tanah air disambut baik ahli Umno
Justeru Md jais berkata sewajarnya Mohamad bukan sekadar menjalankan tugas sebagai presiden sebaliknya mendapat kuasa untuk memangku jawatan tersebut seterusnya mengarahkan jentera menjayakan iltizam yang digariskan.
Dalam kenyataan berasingan 31 Dis lalu, Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat menggariskan lima iltizam untuk membangunkan semula Umno yang dilihat semakin hilang sokongan selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.
Iltizam yang digariskan Mohamad ialah memerangi politik wang, menjadikan Umno pembangkang yang disegani, mengetengahkan idea sebagai modal politik, dan menyemak semula agenda Melayu.
Md Jais yang juga merupakan ketua Umno Bahagian Kluang menyatakan keyakinan bahawa iltizam yang dibentang Mohamad merupakan hala tuju yang jelas untuk Umno bergerak ke hadapan sebagai pembangkang.
Pada 18 Dis lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad.
Ahmad Zahid membuat pengumuman itu selepas sekumpulan wakil rakyat Umno meninggalkan parti, selain desakan dari kalangan pemimpin Umno sendiri.