'Saya akan terus lantang, tak perlu takut'

2018-12-26 23,032

Dihentam, disiasat polis dan diancam saman, Azwanddin Hamzah berkata beliau tidak akan gentar dalam isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Presiden Jaringan Melayu Malaysia itu berkata orang Melayu dan umat Islam telah lama bersabar berdepan “penghinaan, fitnah dan provokasi”.

Jelasnya, jika ada yang tidak bersetuju dengannya, beliau yakin lebih ramai lagi umat Melayu dan Islam dalam negara akan menyokong tindakannya.

Beliau berkata apa yang dilakukannya bukan atas kepentingan peribadi tetapi perjuangan pada agama dan bangsa serta untuk generasi kita akan datang.

Polis hari ini memberitahu Malaysiakini mereka sedang menyiasat ucapan “berapi-api” Azwanddin di Klang, semalam, bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Terbaru, Azwanddin ditahan polis pada 2.45 petang dan dibawa ke IPD Klang Utara.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 2,000 orang itu, dia antaranya mengugut menyerang balai polis jika pihak menyebabkan rusuhan berhampiran kuil Hindu di Subang Jaya tidak ditangkap.

Dalam perhimpunan sama, Azwanddin juga menggelar menteri perpaduan P Waythamoorthy sebagai “paria” dan mengaitkan Menteri Industri Utama Teresa Kok dengan kontroversi rumah ibadat lama itu.

Teresa selepas itu mengumumkan akan menyaman Azwanddin.