Kecewa dengan "perbalahan" antara Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran dan bekas pembantunya, Rozan Azen Mat Rasip mendorong Ketua Cabang PKR Batu Tian Chua campur tangan dan menggesa pertelingkahan itu dihentikan segera.
Dalam satu kenyataan, Tian Chua secara tegas mengarahkan Rozan dan Prabakaran memohon maaf antara satu sama lain dalam tempoh 24 jam dengan menarik balik kenyataan masing-masing.
Pada 22 Disember lalu Rozan yang juga naib ketua cabang PKR Batu dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha kepada anggota parlimen Batu itu.
Kata Rozan, terdapat "tangan ghaib" yang mencampuri urusan kerjanya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk letak jawatan.
Semalam, Prabakaran dalam satu surat yang tersebar di media sosial mendakwa dia tidak pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya, selain menyifatkan Rozan sebagai "tidak boleh ditegur".
Selain mengucapkan terima kasih pada khidmat Rozan, Prabakaran turut mengingatkan pesanan Presiden PKR anggota parti mereka tidak berbalah atau mengeluarkan kenyataan negatif.