Bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan parti keramat Melayu itu tidak boleh terkubur walaupun sedang menghadapi kemelut yang parah ketika ini.
Bagaimanapun Najib mengakui keadaan yang dihadapi oleh Umno kini adalah genting dan serius justeru satu penyelesaian yang bijak harus dilakukan.
Najib turut mencadangkan supaya Umno mencari formula terbaik untuk keluar daripada kemelut semasa parti, termasuk dalam isu berkaitan desakan supaya Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan.
Bekas presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau percaya penyelesaian itu juga sedang difikirkan oleh Ahmad Zahid dan dalam masa sama, pelbagai pihak juga mengutarakan pendapat mereka dalam memastikan kelangsungan Umno.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai desakan anggota dan pimpinan Umno supaya Ahmad Zahid meletak jawatan, ekoran tindakan ramai wakil rakyat, pimpinan Bahagian dan anggota Umno keluar parti.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra dengan komuniti nelayan di Jeti Sungai Miang, hari ini.
Minggu lalu sekumpulan besar Anggota Parlimen Umno Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sehari kemudian Umno sekali lagi menerima tamparan apabila lima lagi anggota parlimennya bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas.