Tindakan perwakilan parti yang melabel Umno sebagai "parti tahi" ketika membahas ucapan dasar presiden di Kongres Nasional Keadilan ke-13 menerima teguran salah seorang naib presiden parti itu semalam.
Semasa menyampaikan teguran itu John Ghani berkata sebagai parti pemerintah PKR perlu bersikap lebih matang dan lebih teliti.
Justeru katanya ungkapan "parti tahi" begitu tidak seharusnya terbit dari mulut perwakilan.
Jelasnya rakyat sedang menilai tindak-tanduk dan pertuturan pemimpin parti itu.
Oleh itu katanya, melabelkan Umno sebagai "parti tahi" adalah tidak wajar memandangkan sebahagian daripada pemimpin PKR hari ini datang dari Umno.
"Jangan kita kata uMNO itu parti tahi, itu tidak seharusnya keluar dari (mulut) pembahas, kerana kita semua (sebahagian) asalnya dari Umno," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR ke-13 di Shah Alam.
Pada Sabtu, seorang perwakilan PKR mengingatkan parti itu supaya tidak berbangga dengan jumlah keanggotaan yang semakin meningkat jika hanya menerima 'langau' yang berterbangan dari Umno.
Perwakilan dari Johor, Yasharudin Kosdi merujuk ucapan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan yang menggunakan istilah itu bagi melabelkan pemimpinnya yang meninggalkan Umno.
Jelas Yasharudin, PKR juga tidak boleh menjadi "parti tahi" dengan menerima masuk langau-langau yang tidak memahami idelisme perjuangan parti berkenaan.
Untuk rekod John adalah senator daripada Sabah yang dilantik oleh Umno apabila parti itu bertapak di negeri berkenaan. Beliau bagaimanapun menyertai PKR kemudiannya.