Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar membalas kritikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap beliau sebagai calon 'papan tanda'.
"Takpalah dia kata saya 'papan tanda'. Dia 'papan iklan'. Tak apa dia nak kata apa pun yang pastinya saya anak jati disini," kata Halimey yang ditemui ketika tengah mengadakan kempen semalam.
Semalam Hadi menyeru pengundi di PRK Seri Setia memilih calon PAS iaitu Dr Halimah Ali yang diyakini mampu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya memilih calon yang sekadar menjadi ‘papan tanda’.
Hadi secara sinis membandingkan Halimey yang menurutnya tidak dapat menandingi rekod perkhidmatan Halimah.
“Kita meletakkan bekas exco dan bekas wakil rakyat yang telah membuktikan kerjanya sebagai wakil rakyat dan exco. Kita dapat menilai (Dr Halimah) pada masa menjawat wakil rakyat dan sentiasa turun padang dan kuat bekerja.
“Bukan wakil rakyat signboard (papan tanda) yang tunjuk gambar sahaja, yang turun hanya pilihan raya (tetapi) kita buktikan (calon PAS) melalui pengalaman yang ada,” beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.
Dr Halimah merupakan bekas exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.