Terma dan syarat pelantikan Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China belum dimuktamadkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata walaupun Perdana Menteri bersetuju dengan pelantikan itu, terma dan syarat belum diputuskan dan masih belum dimaklum kepada Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan.
"Terma dan syarat pelantikan ini hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai jumlah Duta Khas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sejak beliau menjadi perdana Menteri.
Wee mempersoalkan pelantikan Tan, sedangkan sebelum ini beberapa anggota Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengkritik hebat pelantikan beberapa duta khas Perdana Menteri termasuk bekas Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu.
Kritikan itu antaranya menyebut ia adalah pembaziran wang rakyat dan pertindihan peranan dengan jawatan duta Malaysia ke negara luar.
Menjawab lanjut, Liew berkata pelantikan tersebut berbeza dengan pelantikan duta Malaysia ke negara luar yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dan diberi pelbagai keistimewaan dalam suatu tempoh tertentu.
"Duta khas Perdana Menteri ini dilantik secara kontrak, mungkin dua tahun dan tidak diberi taraf menteri," katanya.
Tan, yang juga Anggota Parlimen Cheras, menggantikan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting yang menjadi duta khas ke China di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.