PAS yakin akan mendapat kerjasama penuh daripada BN dan jentera parti pembangkang itu pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan datang.
Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan jaminan yang diberikan kepimpinan Umno, sebelum ini.
“Kita yakin BN akan bantu PAS beri undi di Seri Setia dan itu jamiman yang diberikan salah pemimpin Umno dan kita rasa sampai masanya untuk kita kerjasama strategik dalam konteks pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini di lobi parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata BN akan memberi laluan kepada PAS di PRK DUN Seri Setia sebagai timbal balik kepada parti pembangkang itu.
Malah, Mohamad juga berkata BN akan bersungguh-sungguh membantu siapa saja calon yang dipertaruhkan PAS di Seri Setia.
Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila wakil rakyatnya, Profesor Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.
Ini PRK ketiga di Selangor selepas Sungai Kandis dan Balakong yang akan diadakan masing-masing esok dan 8 September nanti.