Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu kewujudan rakaman suara mirip ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengkritik keras timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mahathir.
Mahathir yang ditemui di Parlimen semalam berkata tidak pernah dengar mengenai isu terbabit.
“Saya tak tahu, saya tak dengar. Dia tak pernah kata pun,” katanya yang juga pengerusi BERSATU.
Menurut laporan Malaysiakini semalam, ada tiga rakaman pendek kurang 10 saat - dikatakan suara Anwar - yang antara lain menyifatkan Azmin sebagai "barua Mahathir".
Selain itu, suara dalam rakaman itu juga berkata dia menyuruh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli melawan Azmin dalam pemilihan akan datang, serta mengkritik Mahathir kerana melantik diri sendiri sebagai pengerusi Khazanah Nasional.
Pemilihan PKR dijadual bermula beberapa minggu lagi dan Azmin masih belum memutuskan sama ada akan mempertahankan kerusi timbalan presiden atau mencabar Anwar bagi jawatan presiden.
Bagaimanapun Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ditemui turut berkata rakaman tersebut palsu.
Azmin juga berkata beliau belum mendengar rakaman itu dan malah tidak tahu tentang perkara itu.
"Saya belum dengar, belum tengok. Saya tak tahu," katanya kepada pemberita.