Tan Sri Annuar Musa berkata BN mungkin akan mengumumkan pembentukan kumpulan seakan kabinet bayangan seawal minggu depan.
Setiausaha Agung Umno itu berkata ia akan diumumkan presiden Umno merangkap ketua pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, BN tidak akan menggunakan nama 'kabinet bayangan' walaupun kumpulan itu akan memainkan peranan yang serupa.
"Kami mahu (pembangkang) lebih teratur, memberikan perbahasan yang bermutu, lebih perbincangan, dan menggalakkan lebih ramai anggota parlimen mengkoordinasi antara satu sama lain agar kita boleh meningkatkan mutu perbahasan BN," katanya.
Kumpulan itu dijangka merangkumi anggota parlimen daripada parti komponen BN, iaitu Umno, MCA dan MIC.
Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata BN akan mewujudkan majlis anggota parlimennya sendiri untuk memastikan mutu perbahasan pembangkang dapat ditingkatkan.
Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam manifestonya berikrar untuk mereformasikan parlimen dan membolehkan cabang legislatif itu memainkan peranan yang sepatutnya.
HARAPAN juga berjanji mewujudkan jawatankuasa terpilih Dewan Rakyat untuk memantau setiap kementerian, yang mempunyai kuasa memanggil menteri dan pegawai kanan untuk memberi keterangan.