Guan Eng: Tanya BN kenapa judi sukan pernah lulus

2018-07-24 6,088

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berdepan lagi soalan pemberita susulan keputusan kerajaan yang tiada perancangan untuk kembali meluluskan lesen judi sukan kepada syarikat taikun Tan Sri Vincent Tan, Ascot Sports Sdn Bhd.

Lim bagaimanapun meminta pemberita bertanya terlebih dahulu kepada kerajaan BN dahulu yang pernah meluluskannya, bukan kepada kerajaan baru yang tidak menyokongnya.

“Kerajaan dahulu yang luluskan.

“Sepatutnya soalan ini ditanya kepada kerajaan lama kerana mereka luluskan lesen itu,” katanya ketika ditanya alasan permohonan itu tidak dilayan.

Ditanya sekali lagi berkaitan pembatalan lesen itu, Lim sekali lagi mengulangi gesaan sama kepada pemberita.

"Lulus tetapi tidak diteruskan. Jadi perkara itu (luluskan lesen) tidak timbul.

"Jadi anda (pemberita) sepatutnya tanya kepada kerajaan terdahulu kenapa mereka meluluskan (lesen perjudian sebelum ini)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau), Lim berkata kerajaan tidak berniat atau merancang untuk meluluskan sebarang lesen aktiviti perjudian sukan kepada Ascot Sports atau mana-mana operator.

Lim berkata, Kementerian Kewangan ketika pentadbiran BN pernah mengeluarkan lesen kepada Ascot pada 13 Januari 2010 tetapi menarik balik pada 5 Oktober tahun sama selepas mendapat kecaman.

Tan dilihat ramai sebagai orang yang rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.