Pertikai siasatan Polis, bapa mahu jumpa Dr M

2018-07-23 10,225

Seorang bapa mempertikaian siasatan polis berhubung penculikan 2 anaknya yang sebelum ini dikatakan diambil oleh ibu kandung mereka.

Mohd Saleem Muhammad Aslam, bapa kepada Raheel Khan Mohd Saleem, 6, dan adiknya Aleya Reyhana Khan, 4, mendesak polis dan pihak atasan mengesan di mana anaknya berada sekarang.

Ini kerana Saleem dikatakan keliru dengan laporan IPD Petaling Jaya dan KLIA yang bercanggah antara satu sama lain.

Awal Mac lalu dilaporkan 2 beradik itu dipercayai dilarikan 3 individu, seorang daripadanya wanita, kira-kira 9 pagi dengan alasan ingin membawa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

Polis bagaimanapun mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kehilangan 2 beradik itu.

Peguam Mohd Saleem, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar berkata, terdapat beberapa persoalan yang ingin pihaknya tanya kepada imigresen berhubung kanak-kanak itu dikatakan telah keluar negara mengikut ibu kandungnya.

Beliau berkata, anak guamnya berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan dapat melihat kes ini dengan lebih serius dan sudah bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi menteri dalam negeri itu sedang mendapatkan rawatan kini.