Jabatan Kastam masih menyiasat jika penghantaran barangan kemas awal tahun ini untuk pemeriksaan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - telah diisytiharkan ketika dibawa masuk ke negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk T Subromaniam berkata demikian ketika diasak oleh wartawan pada sebuah majlis hari ini.
"Bukan hari ini, bukan hari ini. Kami masih menyiasat," jawabnya tetapi enggan mengulas lanjut.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Global Royalty, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu
Barangan kemas berkenaan dirampas oleh polis sebagai sebahagian daripada siasatannya ke atas urusan 1MDB, sebuah entiti milik kerajaan yang terlibat dalam skandal yang menyaksikan RM42 bilion dananya diselewengkan.