Umno lantik peguam tuntut wang parti disita polis

2018-07-11 2,900

Umno melantik pasukan peguam bagi menuntut kembali wang berjumlah RM116.7 juta yang didakwa milik parti itu yang dirampas polis dalam siri serbuan di hartanah berkaitan Datuk Seri Najib Razak sepanjang Mei lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Unit Undang-Undang ibu pejabat Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pasukan peguam akan meneliti segala isu perundangan berkaitan dengan tuntutan tersebut.

Umno melantik Tetuan Scivetti & Associates dengan Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama mewakili Umno dalam membuat tuntutan dana politik berjumlah RM116.7 juta milik Umno yang disita polis.

Pasukan peguam akan membuat permohonan sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan khususnya PDRM untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan untuk tindakan seterusnya.

Azalina yang juga anggota parlimen Pengerang berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi yang tidak wajar berhubung perkara itu.

Pada Mei lalu, polis menyita barang kemas dan wang tunai yang ditemui dalam serbuan ke hartanah berkaitan Najib dalam siasatannya terhadap skandal 1MDB.

Free Traffic Exchange