Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan semua barangan kemas yang dituntut syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan hanya dihantar kepadanya untuk diperlihatkan bagi pertimbangan dan bukannya membuat sebarang pembelian.
Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan media dikeluarkan peguam Datuk M Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram bagi pihak Rosmah.
Ia merujuk kepada laporan media mengenai saman sivil yang difailkan Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah.
Kenyataan media itu turut menjelaskan Rosmah mahu melihat barangan yang disita bagi mengenal pasti barangan miliknya kerana ketika serbuan, barang milik anak perempuan dan menantunya turut dirampas.
Peguam itu berkata PDRM diharap bersikap adil terhadap Rosmah dan semua proses dipatuhi mengikut peruntukan sewajarnya.
Pada 26 Jun lalu, Global Royalty Trading Sal selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Rosmah sebagai defendan melalui Tetuan David Gurupatham dan Koay.
Mereka adalah pemborong barang kemas terkenal antarabangsa yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja dan pelanggan dari seluruh dunia.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah didakwa sebagai pelanggan tetap kepada plaintif dan dalam keadaan tertentu defendan ada meminjam beberapa barang kemas serta memulangkan semula.