Sembang Online bersama Pemerhati Mahasiswa

2018-07-11 1

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Penglibatan anak muda dalam Perhimpunan Agung UMNO perlu diperhebat agar suara mereka dapat didengari di peringkat tertinggi.

Pemerhati dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nur Syaqira Mohd. Sah, 22, berkata, setakat ini penglibatan anak muda dalam perhimpunan tersebut masih kurang.

"Sepanjang menjadi pemerhati selama empat hari di perhimpunan ini, saya dapati ia lebih ramai disertai oleh mereka yang lebih berusia.

"Fenomena ini perlu diubah kerana suara orang muda perlu didengari di peringkat tertinggi, dan ia hanya boleh dilakukan melalui penglibatan anak muda dalam Perhimpunan Agung UMNO," katanya semasa ditemubual dalam Sembang Online di sini hari ini.

Sementara itu, Nur Fatisa Nerina Rosli, 21, berkata, perkara yang paling menarik minatnya adalah ketika perwakilan membahaskan usul.

"Banyak perkara yang sebelum ini kita tidak tahu tapi dengan menyertai perhimpunan, boleh dikatakan semua isu yang sedang melanda negara dapat diketahui.

"Saya harap generasi muda lebih mengenali dan mendalami dunia politik supaya mereka mendapat pengalaman baharu secara tidak langsung menjadi wakil kepada suara anak muda lain," ujarnya.

Dalam pada itu, rakannya yang juga pemerhati, Nurul Saadah Latib, 23, berkata, dia teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua perwakilan yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO 2016.

"Semangat ini membuktikan bahawa ikatan Melayu sangat kuat dan ia diterjemahkan melalui perhimpunan ini," katanya.