KUALA LUMPUR - Satu peluang yang diberi oleh Edry Abd. Halim untuk menggantikan bekas vokalis kumpulan Mojo, Aweera dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) lalu telah menjulang nama kumpulan pemuzik jalanan, Caliph Buskers sebagai artis berkumpulan tanah air.
Walaupun pancaindera para anggota kumpulan ini tidak sama seperti kita semua namun kehebatan mereka sebagai artis berkumpulan setanding dengan artis-artis atau penyanyi yang sempurna pancainderanya.
Bagi Caliph Buskers, mereka tidak pernah menduga dapat menempa nama sebagai artis mahupun sebagai penyanyi arus perdana.
Rezeki Caliph Buskers adalah satu takdir yang tersurat dalam hidup mereka.
Tanpa rasa sedikitpun kekurangan dalam diri, Caliph Buskers menerima segala-galanya sebagai anugerah dari Tuhan.
Satu-satunya single Caliph Buskers berjudul Hanya Namamu ciptaan Edry telahpun berada di pasaran.
Hanya Namamu adalah 'hadiah' dan ucapan terima kasih pihak KRU ke atas Caliph Buskers yang membuka banyak mata mereka dalam industri bahawa pemuzik jalanan khususnya golongan istimewa juga mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan penyanyi berkumpulan lain.
Utusan Online telah mengundang Caliph Buskers untuk menjayakan segmen popular dalam portal berita itu, Jom Chat.
Walaupun Caliph Buskers hadir tidak cukup korum namun vokalis, Khairul Azmi Saad, 28, gitaris, Nirwan Zainal Abidin, 26 dan Syahzmeen Abd. Rahman, 24 tetap menggegarkan lobi ibu pejabat Utusan Malaysia.
Bagi anda yang terlepas untuk mengikuti Jom Chat secara live streaming, anda boleh tonton rakaman Jom Chat dengan Caliph Buskers. - UTUSAN ONLINE