Kesetiaan formula UMNO – Najib

2018-07-11 2

KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesetiaan penyokong kepada parti sentiasa menjadi formula yang relevan dalam usaha melihat UMNO terus kuat dan berkuasa.

Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri menegaskan, walaupun dalam persekitaran yang telah berubah dengan persepsi menjadi lebih penting daripada realiti, namun dengan kesetiaan penyokong, setiap ujian pasti mampu dilalui dengan jaya.

ìUMNO telah lalui pelbagai ujian daripada pengasas meninggalkan parti, daripada Biro Agama menubuhkan Pas, UMNO diharamkan sehingga disusun semula termasuklah pertandingan 1987 dan lain-lain lagi yang semua itu telah kita tempuh dengan jayanya.

ìBerjaya bukan kerana kebijaksanaan pemimpin sahaja tetapi lebih daripada itu kerana apabila pemimpin mempunyai penyokong dan pendukung yang setia dan kuat, pada masa itu pemimpin boleh berjaya.

ìSaya yakin dan percaya, formula seperti ini masih relevan sampai hari ini,î katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-69 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermeiyati Samsudin serta pemimpin parti yang lain. Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berada di Mekah kerana mengerjakan umrah.

Sementara itu, Najib berkata, sambutan Ulang Tahun UMNO ke-69 malam ini mengambil tema Melayu Bersatu kerana ia adalah mesej paling bernilai apabila majlis itu diadakan.

Katanya, walaupun untuk melaksanakan tidak semudah menyebutnya, namun perkara itu boleh dilakukan jika semua pihak percaya bahawa yang lebih penting adalah parti dan bukannya individu.

ìHari ini di Parlimen kita adalah parti terbesar dengan 88 kerusi di Dewan Rakyat. Justeru, dalam apa jua keadaan kita mesti mempertahankan kekuatan ini,î jelasnya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan pihak-pihak yang sengaja menabur pelbagai cerita ketika ini bukanlah golongan yang sayangkan parti tetapi mahu mengadu domba antara pemimpin.

Namun, kata beliau, Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini telah menunjukkan kematangan apabila seia sekata mahu melihat pucuk pimpinan parti khususnya beliau dan Muhyiddin seiring dalam mentadbir parti.

ìDan ingin saya katakan bahawa inilah juga harapan saya. Semoga kalau kita mempunyai barisan kepimpinan yang serasi dan saling mempercayai antara satu sama lain, maka sudah tentu ini memberi isyarat yang jelas bahawa kalau di atas kukuh maka sudah tentu di bawah juga akan turut bantu dan bersama dalam satu semangat ikatan yang sempurna,î katanya.-UTUSAN ONLINE.