Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet dan wakil rakyat dari parti pemerintah kini diklasifikasikan sebagai sebahagian anggota pentadbiran dalam usaha membendung gejala rasuah.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pindaan akan dibuat ke atas Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan bagi membolehkan tafsiran Anggota Pentadbiran diperluas.
Katanya sebelum ini ada keputusan mahkamah yang memutuskan perdana menteri bukan penjawat awam.
Beliau berkata melalui langkah itu, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika memiliki aset dan pendapatan yang tidak dapat dijelaskan puncanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah kali kedua di sini hari ini.