Pakatan Harapan khususnya PKR menerima berita menyedihkan apabila anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dikhabarkan meninggal dunia pagi ini.
Bekas setiausaha politik kepada menteri besar Selangor itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat menghidap penyakit kanser limfoma.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menerusi Facebooknya.
Menurut kenyataan media Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, jenazah allahyarham akan diuruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sejurus selepas selesai urusan di hospital.
Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam yang dijangka selepas solat Asar.