Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat semula 3 isu kontroversi di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad.
Timbalan Presiden ANAK Mohd Nasaie Ismail berkata, ini bagi menyahut seruan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang sebelum ini menyatakan pihaknya bersedia membuka semula kes lama.
Menurut Nasaie, kes-kes yang dilaporkan semula kepada SPRM itu melibatkan kira-kira RM6 bilion milik peneroka Felda.
Kes pertama yang dilaporkan pihaknya kepada SPRM membabitkan penjualan saham Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) kepada Felda Global Ventures (FGV) pada 2013 dimana beliau menyifatkan jumlah pembayaran tersebut meragukan.
Laporan kedua dibuat oleh pihaknya adalah mengenai pembelian 3 buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang dibeli di London, Kuching dan Kota Kinabalu yang mana dibeli lebih daripada harga pasaran.
Beliau berkata, walaupun kes tersebut telah dibuka sebelum ini dan tangkapan dan siasatan telah dilakukan terhadap Isa dan beberapa pegawai yang lain, tetapi tiada sebarang pendakwaan terhadap kes berkenaan.
Isa sebelum ini direman 5 hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC). Beliau ditahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan menerima rasuah.
Mahkamah membenarkan Isa dibebaskan daripada reman dengan ikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin, selain jaminan lisan tambahan sebanyak RM350,000 jika beliau melanggar jaminan pertama.