Ku Li ada cara bawa Umno kembali berkuasa sebelum PRU15

2018-06-29 1,504

Seorang lagi calon presiden Umno membayangkan hayat kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu bertahan walaupun sepenggal dan Umno kembali berkuasa dalam tempoh kurang dari lima tahun.

Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini hari ini Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengembalikan Umno berkuasa.

Antaranya kata beliau, melalui proses rundingan dengan parti-parti yang ada di negara ini.

Tengku Razaleigh ditemui di kediaman merangkap pejabatnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur hari ini.

Umno akan mengadakan pemilihan yang menyaksikan jawatan presiden dipertandingkan buat kali pertama sejak 1987.

Selain Tengku Razaleigh, turut bersaing merebut jawatan presiden ialah bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Presiden Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi serta dua lagi calon yang kurang dikenali, Mohamed Iqbal Maricair (Ahli Jawatankuasa Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin (Umno Iskandar Puteri).