Najib tarik balik saman fitnah ke atas Malaysiakini

2018-06-20 3,194

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang dikemukakannya ke atas portal berita, Malaysiakini pada 2014 lalu.

Penyelesaian itu dicatatkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faizah Jamaludin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kes itu adalah yang terbaru dalam saman fitnah yang digugurkan oleh bekas perdana menteri berkenaan selepas BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 bulan lalu.

Saman yang difailkan pada 3 Jun 2014, mendakwa bahawa dua artikel di Malaysiakini berhubung ulasan pembaca mengenai kemelut Menteri Besar Terengganu yang berlaku pada tahun itu memfitnah dirinya.


Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh dan Najib dinamakan sebagai plaintif dalam saman itu, manakala penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, ketua pengarang kumpulan Steven Gan dan ketua pengarang ketika itu, Fathi Aris Omar dinamakan sebagai responden.

Berikutan pilihan raya yang menyaksikan kekalahan BN, Najib telah menggugurkan sekurang-kurangnya tiga saman lain yang telah difailkannya.