Menteri Besar Selangor yang baru, Amirudin Shari menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menjawab persoalan tentang pelantikannya yang dikatakan tidak mendapat restu.
“Saya rasa biar pimpinan HARAPAN memberi penjelasan terutamanya daripada PKR untuk soalan tersebut dan saya serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk membuat penjelasan,” katanya dalam sidang media pada majlis jamuan makan tengahari di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad dalam sidang medianya hari ini mendakwa pelantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor yang baru tidak mendapat restu HARAPAN.
Idris sebaliknya berkata hanya beliau seorang sahaja yang mendapat persetujuan daripada semua parti HARAPAN.
Idris sebelum ini dikatakan merupakan antara yang tersenarai pendek sebagai calon untuk menjawat jawatan itu.
Kekosongan jawatan itu susulan penyandangnya sebelum ini Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diserap ke kabinet sebagai menteri hal-ehwal ekonomi.