Jamal rayu kerajaan tangguh tutup kedai

2018-06-13 11,779

Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang diasaskan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos di Jalan Pahang sejak 16 Oktober lalu, diarah tutup.

Dalam satu notis yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, pengosongan tapak restoran itu perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 18 Jun ini.

Notis itu turut menjelaskan bahawa restoran tersebut melakukan kesalahan di bawah seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara dengan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah dari pihak berkuasa negeri.

Operasi penguatkuasaan mengosongkan tapak ini akan dijalankan pada bila-bila masa selepas tarikh tersebut berakhir.

Sekiranya ingkar, jika disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun.

Dalam satu kenyataan berasingan, Jamal meminta kelonggaran serta keizinan dari agensi terbabit untuk menangguhkan tarikh penutupan tersebut.

Ini kerana, kata Jamal, penangguhan tersebut atas dasar memberi ruang dan masa untuk pihaknya melakukan proses mencari lokasi baharu untuk pemindahan barang serta peralatan di restoran itu.

Selain itu juga, para petugas di restoran itu telah pun mula bercuti untuk menyambut Hari Raya yang dijangka pada Jumaat ini.