Pelakon sensasi Iqram Dinzly tampil dalam satu video di mana beliau menjelaskan kontroversi 'Che Mat' yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Iqram yang sering tampil dengan kelakuan pelik sejak beberapa bulan ini mendapat liputan meluas media yang ingin tahu apa terjadi kepada pelakon berbakat besar ini.
Dalam rancangan hiburan popular Melodi, Iqram mengeluarkan kata-kata 'Che Mat' merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W yang mengundang kemarahan ramai.
Selepas kejadian itu beberapa akhbar melaporkan teguran dari ahli agama kepada Iqram terhadap perkataannya itu.
Dan semalam menerusi laman Facebook Wira Keyboard, Iqram menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf atas keterlanjurannya yang membuat orang ramai marah.
''Saya memohon maaf kepada netizen semua atas apa yang telah berlaku,''
''Sebab saya sudah keliru dengan nama Muhammad Syaifudin, Ahmad Said. Dan bila saya tersasul, saya segera betulkan dengan menyebut Nabi Muhammad S.A.W."
''Bila ia terjadi, saya perbetulkan kembali dan ia menjadi isu sekiranya ada pihak yang menganggap saya bergurau dengan nama Baginda.
''Oleh itu saya ingin meminta maaf secara terbuka jika kesilapan percakapan saya telah menimbulkan kontroversi dan persepsi negatif. Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak berniat untuk memperlekehkan Nabi Muhammad S.A.W,'' jelas Iqram lagi.