Satu video di mana Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan telah 'mengangkat' Muhammad Zul Apis Baharum sebagai pembantu peribadi (PA) beliau.
Rakaman itu adalah gurauan ketika Majlis Ramah Mesra KAFA bersama pemain dan penyokong pada 29 Disember 2017.
Di dalam video berkenaan para peminat dan pemain Kelantan turut bergurau senda bersama dan Muhammad Zul Apis Baharum turut diberikan baju PA oleh Puan Presiden.
Muhammad Zul Apis Baharum berusia 29 tahun atau lebih dikenali dengan Mat Tere merupakan pemuda yang mengalami masalah mental dan pernah ditahan polis sebelum ini.
Mat Tere menjadi sensasi apabila videonya mengeluarkan kata-kata jelik kepada pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) pada bulan Februari 2017.
Mat Tere ditahan polis kerana video itu namun Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta polis melepaskan beliau.
"Baginda percaya Mat Tere tidak bersalah dan telah dijadikan mangsa oleh individu di pihak atasan untuk agenda politik".