Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akhirnya meletakkan jawatan selepas 37 tahun memerintah.
Menurut Reuters, pemimpin berusia 93 tahun menghantar sepucuk surat selepas menghadapi pelbagai tekanan termasuk rampasan kuasa oleh tentera dan undi tidak percaya di parlimen.
Sebelum ini, parlimen negara itu memulakan proses pemecatan beliau sekali gus menamatkan pemerintahan hampir empat dekad pemimpin berkenaan.
Keputusan itu yang diumumkan oleh Speaker Zimbabwe, Jacob Mudenda diraikan dengan meriah oleh sidang dewan parlimen sekali gus menghentikan prosedur pemecatan tersebut.
Bekas ketua keselamatan yang dikenali sebagai `Buaya’, Emmerson Mnangagwa dijangka mengambil alih tempat Mugabe.
Sementara itu, AFP melaporkan hon kereta dibunyikan sepanjang jalan, begitu juga orang ramai yang berpesta di Harare iaitu ibu negara Zimbabwe selepas mendengar bahawa Mugabe telah melepaskan jawatannya.