Seorang pembaca berita secara tidak sengaja 'terleka' semasa berita sedang disiarkan secara langsung di saluran ABC24 di Australia.
Pihak pengurusan saluran ABC24 dilaporkan mengarahkan pembaca berita, Natasha Exelby, agar tidak muncul dalam mana-mana siaran berita dalam masa terdekat.
Ketika bertugas, Exelby dilihat sedang bermain dengan pen dan terkejut apabila menyedari dia sedang ke udara.
Insiden itu menyebabkan ramai rakan penyampai berita, khususnya di Australia, membuat pengakuan bahawa apa yang terjadi adalah perkara biasa dan pernah dialami hampir kesemua mereka.
Mereka mengganggap tindakan saluran itu yang menggantung Exelby daripada tugasan membaca berita, sebagai keterlaluan kerana ia kesilapan yang tidak disengajakan.
Bagaimanapun, seorang jurucakap saluran ABC memberitahu The Daily Telegraph, Exelby sebenarnya bukan penyampai berita tetap di situ, sebaliknya seorang penyampai bebas, di mana dia akan dipanggil apabila diperlukan.
Justeru, biarpun tidak membaca berita, Exelby tetap akan menjalankan tugasan-tugasan lain seperti yang dikehendaki pengurusan saluran terbabit.
Ini bukan kali pertama Exelby terlibat dalam kontroversi seumpama ini. Beberapa tahun lalu, dia pernah dikritik apabila ketawa ketika menyampaikan berita tentang sebuah tunjuk perasaan yang mengakibatkan banyak kematian di Brazil.