Tunggu jemaah sujud taktik curi beg di masjid

2017-03-20 6,784

Tunggu jemaah sujud sebelum larikan beg, demikian taktik yang digunakan seorang lelaki ketika melarikan beg tangan seorang jemaah wanita dalam kejadian di Masjid Jamik An Nur, Guar Perahu, Bukit Mertajam malam semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu hanya disedari mangsa selepas mendapati beg yang diletakan di hadapan sejadahnya 'ghaib' ketika selesai solat Maghrib.

Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bagi merungkai kehilangan beg berkenaan, jawatankuasa masjid berkenaan membuat penelitian melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan hasilnya memperlihatkan tindakan seorang lelaki yang memakai topi keledar melarikan beg berkenaan ketika jemaah sedang solat.

"Suspek yang memakai topi keledar berwarna kelabu dan berseluar jeans biru itu menunggu beberapa minit sehingga jemaah sujud sebelum masuk ke dalam kawasan masjid dan melarikan beg tangan mangsa.

"Difahamkan mangsa yang datang dari Putrajaya singgah untuk solat di masjid berkenaan selepas pulang menghadiri majlis kenduri di Kepala Batas sebelum mahu ke rumah ibunya di Alma di sini," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, akibat kejadian itu, mangsa kehilangan wang tunai kira-kira RM350, sebuah telefon bimbit, kad bank serta dokumen pengenalan diri.

Katanya, polis sedang melakukan siasatan termasuk mengenal pasti identiti suspek melalui rakaman CCTV.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat ataupun mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil untuk bantu siasatan.