Video: Wanita terpantas Malaysia kini milik Zaidatul

2017-03-09 2,022

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli kini dinobat sebagai wanita terpantas negara apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter awal pagi tadi.

Zaidatul mencatatkan masa 11.45 saat berjaya mengatasi rekod lama milik G.Shanti 11.50 saat yang bertahan selama 24 tahun.

Datuk Karim Ibrahim yang merupakan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan badan induk tersebut menerima catatan itu namun masih menunggu keputusan muktamad pihak teknikal kejohanan.

Zaidatul melakar catatan tersebut ketika aksi di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan.

Sabtu lalu, Zaidatul Husniah, 24, sudah memecahkan rekod kebangsaan yang sudah lama bertahan itu, namun catatan 11.36s yang dicipta dalam Kejohanan AGN League 7, Pretoria, Afrika Selatan itu tidak diiktiraf kerana mendapat bantuan angin +2.5 saat.