Suspek pembunuhan sembunyi di kedutaan Korea Utara

2017-03-07 1

Dua suspek rakyat Korea Utara yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam, sedang bersembunyi di kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Berapa lama lagi mereka hendak bersembunyi di kedutaan itu. Jika suspek enggan menyerah diri dengan baik, PDRM akan guna alternatif lain terhadap mereka," katanya yang dipetik Reuters.

Menurut Khalid, pihak berkuasa Korea Utara enggan bekerjasama membantu siasatan.

Kim dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari oleh suspek yang dipercayai menggunakan agen saraf VX yang diklasifikasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Sementara itu Susan Loone di George Town, Pulau Pinang melaporkan Khalid berkata, polis akan tetap menunggu susek Korea Utara yang dikehendaki pihak berkuasa negara ini "walaupun sehingga lima tahun".

Bercakap pada sidang media hari ini, ketua polis negara berkata pihaknya percaya suspek yang ingin disoal siasat berhubung kematian Kim Jong-nam masih berlindung di bangunan kedutaan Kora Utara di Damansara.

Mereka, kata Khalid, termasuk seorang kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo.

"Jika dia tidak tampil, kami akan paksa sebelum keluarkan waran tangkap," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan suspek terbabit tidak akan tampil, Khalid berkata: "“PDRM bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas semua suspek terbabit dan kita juga bersedia untuk menunggu mereka serah diri, biarpun dalam masa lima tahun lagi."

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh menggunakan racun dikenal pasti agen saraf VX ketika mangsa menunggu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada 13 Februari lalu.

Free Traffic Exchange