Dua kereta Robocar iaitu kereta lumba elektrik tanpa pemandu yang pertama di dunia dijangka menyertai perlumbaan kereta tahun ini.
Kehebatan kereta itu didedahkan oleh syarikat Roborace semalam dalam Kongres Kenderaan Dunia dan penciptaan kenderaan itu merupakan idea Ketua Pegawai Rekacipta Roborace, Daniel Simon iaitu individu yang turut mencipta kenderaan futuristik untuk filem-filem terlaris di Hollywood termasuk Tron Legacy dan Oblivian.
Setiap Robocar berukuran 4.8 meter panjang dan dua meter lebar, seberat 975 kilogram serta dilengkapi empat motor.
Setiap motor mempunyai sebuah bateri dengan kapasiti 300 kilowatt (kW) dan 540 kW yang membolehkan kenderaan itu memecut sehingga 320 kilometer sejam.
Walau bagaimanapun Roborace tidak memaklumkan kos pembuatan kenderaan itu dan tidak menetapkan tarikh penyertaan kenderaan itu dalam perlumbaan akan datang.