Polis menangkap pemandu teksi yang membawa dua wanita yang didakwa membunuh Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un.
Memetik sumber kanan polis, Oriental Daily, melaporkan rakaman kamera awam menunjukkan wanita-wanita itu mengambil teksi untuk keluar daripada kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas didakwa meracun Kim.
“Selepas menyemak rakaman CCTV (kamera litar tertutup), polis menahan pemandu teksi itu,” kata sumber itu seperti dilaporkan.
Pihak polis difahamkan bahawa wanita itu mendakwa mereka adalah warganegara Vietnam.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada mereka bercakap benar kepada pemandu teksi itu.
Sementara itu, berhubung dakwaan muka Kim Jong-Nam diserkup dengan kain, sumber berkata cairan padanya “lebih kuat daripada sianida”.
Sementara itu, gambar dari rakaman CCTV di KLIA seorang daripada suspek pembunuh telah dibocorkan dan sudah disiarkan oleh syarikat penyiaran 24 jam Korea Selatan YTN News.
Gambar sama disiarkan oleh The Malay Mail hari ini.
Ia menunjukkan seorang wanita memakai kemeja T lengan panjang dan skirt pendek.