Pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, di Zurich, Switzerland awal pagi ini.
Mohd Faiz merupakan 'arkitek' dan jaringannya disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Feb tahun lepas.
Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.
Mohd Faiz meraih 59.46 peratus undian, manakala Marlone (22.86 peratus) dan Rodriguez (10.01 peratus).
Kejayaan itu menyaksikan Mohd Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu yang dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.