Suspek kes bunuh Bill Kayong dikawal ketat polis, tiba di Miri

2016-12-14 15

Seorang lelaki berpangkat Datuk yang menjadi dalang utama kes tembak mati Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong pada Jun lalu, selamat tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar 11 pagi tadi dengan menaiki pesawat MH2592.

Suspek, yang hampir lima bulan diburu, dikawal dengan ketat oleh pasukan polis setibanya di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.45 malam tadi.

Menurutnya, suspek yang namanya disenarai sebagai individu dikehendaki oleh polis antarabangsa (Interpol) terlebih dahulu ditangkap di Putian, Wilayah Fujian, China oleh Kementerian Keselamatan Awam republik itu.

"Suspek kemudian diusir ke Malaysia melalui Wilayah Xiamen dengan diiringi satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar.

"Suspek akan diiringi ke Miri, esok untuk menghadapi pendakwaan segera berhubung kes berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 22 Jun lalu, mangsa ditembak mati dipercayai menggunakan senapang patah di persimpangan lampu isyarat Lutong di Miri, kira-kira pukul 8.30 pagi.