Presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Datuk Ibrahim Ali hari ini mendakwa pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) penting untuk "melindungi" keselamatan kaum Cina dan India.
Berucap pada forum bertajuk 'ISA: Masih relevan atau tidak?' di Kuala Lumpur hari ini, katanya pandangan yang mendakwa akta itu digubal untuk kepentingan kaum Melayu adalah salah sama sekali kerana golongan itu adalah majoriti.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa penguatkuasaan ISA dan EO sebenarnya mempopularkan pemimpin pembangkang seperti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.